Visual Art

The visual arts are art forms that create works which are primarily visual in nature, such as ceramics, drawing, painting, sculpture, architecture, printmaking, modern visual arts (photography, video, and filmmaking), design and crafts. These definitions should not be taken too strictly as many artistic disciplines (performing arts, conceptual art, textile arts) involve aspects of the visual arts as well as arts of other types. Also included within the visual arts are the applied arts such as industrial design, graphic design, fashion design, interior design and decorative art.




About Me

My photo
Creative Designer,Primeworks Studio, Media Prima Berhad / B.A Hons Fineart University Technology MARA,Malaysia

Monday, September 8, 2008

Pembawaan Karya Moden Malaysia



coming soon...

Pengkaryaan dan Nilai

Pengkaryaan dan Nilai

Setiap karya seni yang baik seharusnya mendukung dua asas atau nilai utama dalam pengkaryaan iaitu nilai intrinsik dan ekstrinsik. Apabila berbicara berkenaan seni, pokok utama pembicaraan yang membezakan karya seni dengan bidang kebenaran lain seperti falsafah, ilmu pengetahuan (terkandung di dalamnya bidang sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan dan lain-lain) dan agama ialah apakah nilai yang terkandung di dalamnya.Persoalan nilai tidak bisa dipersoalkan lagi di dalam agama, tambah pula agama samawi yang bersumber dari wahyu. Namun persoalan nilai membezakan seni dengan falsafah dan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan seperti bidang sains, teknologi dan kejuruteraan misalnya tidak berbicara tentang nilai. Bidang ini berbicara tentang praktikalitinya, tentang aspek kegunaan dan fizikal semata-mata. Bidang falsafah juga tidak dapat berbicara tentang nilai kerana falsafah adalah upaya manusia untuk mengenal kebenaran dan mengenal nilai, buruk atau baik. Ia hanya berupaya mengenal nilai tetapi tidak membuat pilihan. Nilai intrinsik ialah pembicaraan tentang aspek-aspek formalistik, ikonografi dan fizikal.

Mengapakah seni catan itu cantik dan enak di pandang mata, mengapakah seni muzik itu sedap didengar telinga, mengapakah lakon itu sehingga membuatkan menitis airmata, mengapakah pergerakan di dalam suatu seni tari menggugah perasaan; pendeknya nilai yang terkandung aspek-aspek fizikal yang terlihat, dapat didengar, dapat ditonton oleh indera fizikal. Itulah dia nilai-nilai intrinsik.Nilai-nilai ekstrinsik ialah diskusi berkenaan aspek kejiwaan, falsafah, psikologi iaitu nilai-nilai yang tidak dapat dinilai oleh indera yang fizikal, ianya serba noumena, transendental dan ghaib. Ia hanya bisa dirasai oleh jiwa, intuisi dan naluri dengan pendekatan ilmu, falsafah, kebudayaan setempat dan jatidiri insan. Justeru dapat dikatakan dua nilai yang berganding ini dapat membuahkan hasil yang baik dan jitu di dalam sesebuah karya seni.Namun kedapatan juga seni yang tidak mempunyai dua-dua nilai ini sekaligus didalamnya. Seringnya terjadi apabila nilai entrinsik yang terpinggir dan jarang pula nilai intrinsik tidak diberi perhatian. Ini dapat sedikit sebanyak menjawab mengapa sesebuah karya seni itu tidak bertahan lama dan mati dalam sekelip mata. Contohnya karya seni kartun atau komik yang mempunyai nilai-nilai intrinsik namun tidak punya atau terlalu kurangnya nilai ekstrinsik (perlu difahami kebanyakan kartun dan komik adalah untuk memenuhi tuntutan seni yang berbentuk popular dan menjurus kepada kanak-kanak).

Maka seni ini akan mati dan tidak akan dibicarakan lagi oleh masyarakat. Namun karya-karya kartun Datuk Lat misalnya, hidup dan diberi perhatian istimewa kerana kekayaan nilai-nilai ekstrinsik didalamnya. Karya-karya seni yang punya dua nilai tersebut juga bisa mati jika masyarakat sendiri teramat lemah pengetahuan dalam kesenian. Karya seni yang baik seperti novel sastera Hujan Pagi; teater, Tiang Seri Tegak Berlima; bidang seni halus, siri Pago-pago, Wayang, Don't Play During Maghrib, Power I & II (menyebut sekadar beberapa contoh) dan sebagainya yang kaya dengan nilai-nilai intrinsik dan ekstrinsik akan mati kerana masyarakat tidak berupaya menyelami aspek-aspek kejiwaan, falsafah, moral dan budaya yang terkandung di dalam sesebuah karya seni. Ketidakupayaan ini bersumber dari pelbagai saluran. Secara amnya kerana kurangnya bersemarak bidang kritikan dan apresiasi seni di media-media massa, pendidikan yang kurang menekankan seni dari aspek keilmuan, penonjolan besar-besaran terhadap seni hiburan yang memaparkan 'artis-artis' yang sebenarnya bukan karyawan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat, kelemahan pihak pentadbir dalam menyediakan dana dan peruntukan untuk karyawan, kekurangan dari aspek penyelidikan dan pembangunan dan pelbagai sebab lagi. Pendeknya pengkarya seni yang layak dipanggil seniman (tidak sekadar pelukis, penulis picisan, pembuat filem komersial) selain dari berupaya menyingkap permasalahan masyarakatnya, beliau juga harus sentiasa memperbaharui keilmuan.

Ini yang dapat membezakannya dari penseni biasa kerana seniman yang tulen seharusnya menjadi SESUNGUT MASYARAKAT dan PEMIKIR YANG BERKARYA bukan sekadar melukis seindahnya dan masyarakat pula mengagung dan mengagumi ketepatan lukisannya yang luar biasa dan seolah-olah hidup! Ini meliputi semua seniman samada sastera, teater, filem, tarian dan sebagainya. Seniman tulen adalah mereka yang berupaya MENAFSIR dan MENGHURAI bukan sekadar MENTERJEMAH.

Sunday, September 7, 2008

Meninjau pameran DISCLOSURE-Ahmad Zakii Anwar

DISCLOSURE – Ahmad Zakii Anwar,Gallery Petronas 10 Jul 2008 - 24 Aug 2008

This solo exhibition features the works of Ahmad Zakii Anwar, one of Malaysia's leading figurative painters. A major influence on the development of figurative realism within painting in contemporary Malaysian art practice, this exhibition traces the development as well as future direction taken by Ahmad Zakii Anwar in his career as an artist.

Pada bulan yang lalu,saya bersama pensyarah saya meninjau serta menikmati satu lagi karya seni Malaysia kontemporari.Yang dimaksudkan ialah artis tempatan negara kita iaitu Ahmad Zaki Anwar.Karya Ahmad zaki Anwar sememangnya indah dan direka dengan cantik sekali.Dari perspektif mata kasar sememangnya karya beliau amat hebat dan memartabatkan lagi seni kontemporari negara kita yang menuju kearah yang lebih moden.


Pensyarah saya(best buddies lecturer):En.Farid,Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,UITM


Karya-karya beliau menyentuh elemen rupa,bentuk,alam benda yang menuju kearah erotik dan menimbulkan suasana ekspresi.Dengan itu timbul beberapa watak-watak yang cuba diwujudkan.Walaupun beliau berlatar-belakangkan seorang pelajar grafik pada mulanya,namun ini tidak menghalang beliau mengembangkan sayap ke dalam bidang yang mungkin lebih sinonim dengan nama Seni Halus.Jenis Naturalisme batin yang dibawa Zakii secara semulajadi
mempunyai tempat yang agak menarik di dalam sejarah seni moden Malaysia yang masih dikuasai oleh seni catan figuratif,walaupun baru-baru ini terdapat kebangkitan media alternatif baru dalam ekspresinya.








Meskipun begitu,pelukis ini terus komited kepada karya catan yang serius dan kecatan di dalam zaman sejarah seni semasa yang dicabar oleh alam seni yang padat dengan manipulasi bahan baru dan fotografi.Justeru itu,apreasis kritikal mengenai jenis realisme Zakii adalah tepat pada masanya-bukan sahaja pada tahap estetik dan komersil tetapi juga untuk mencari konteks kontemporarinya di dalam sejarah seni Malaysia yang sedang bergelora dengan polemik teori pensejarahan.


















































































































































Sudahkah Seni Halus Merdeka?

MERDEKA! Merdeka! Merdeka! - Laungan yang kini telah menjadi suatu macam upacara ritual (bagi mereka yang tidak memahami erti sebenar kemerdekaan).
Hanya menjerit dan bersorak kerana setiap tahun itulah caranya kita memberi tanda bahawa kita telah pun berdiri di atas kaki sendiri tanpa penjajahan. Tak kisah sama ada itu satu pendekatan yang tepat atau tidak. Yang penting kita telah pun selesa dengan cara itu.

Dalam mendepani glokalisme, kita perlu memperkasakan diri dan akar budi kita terlebih dahulu sebelum menunjukkan keperkasaan kita agar setanding dengan tamadun luar.
Biarlah orang ekonomi bercakap fasal ekonominya. Orang politik dengan politikalnya, masing-masing individu bercakap fasal keperluan masing-masingnya.Seni halus di dalam kamus dewan bermaksud suatu hasil karya yang halus buatannya di contoh pula dengan hasil catan, arca dan ukiran.

Manakala bidang kerjanya pula termasuk pelukis, pengukir dan pengarca. Kefahaman ini nampaknya telah dijumudkan sekian lama.Mungkin kerana ilmu seni halus yang juga dikenali sebagai seni visual atau fine art dalam bahasa Inggerisnya dan di Indonesia sebagai seni murni telah melalui proses pembelajaran dan proses keilmuannya di Barat, maka makna yang diterima pakai oleh kita juga dipengaruhi Barat. Sejarah seni, suatu subjek yang perlu diketahui oleh seniman seni halus yang serius juga berlandaskan Barat.

Nama-nama seperti Leonardo Da Vincci, Salvador Dali, Jackson Pollock, Andy Warhol dan beberapa nama yang menjadi ikon dalam seni halus juga nampaknya orang-orang Barat belaka.
Mungkin saya perlu turun sedikit dalam ruang lingkup seni di Malaysia sudah memadai.
Nama-nama seperti Ibrahim Hussein, Abdullah Ariff, Syed Ahmad Jamal, Zakaria Ali dan beberapa nama yang menjadi ikon di dalam sejarah seni halus di Malaysia juga telah mengamalkan perkara yang sama. Malah terdapat pula tafsiran yang mengatakan seni halus hanyalah hasil karya yang melibatkan berus, cat minyak dan kanvas seperti mana yang telah diamalkan di dalam seni catan moden.

Sehingga ke hari ini, kefahaman ini telah membawa kepada beberapa pecahan contoh hasil seni halus yang diberi makna baru seperti kraftangan seni halus, barangan ukiran seni halus, lukisan pemandangan seni halus, lukisan potret seni halus dan sebagainya.
Semuanya kerana kita faham bahawa apa saja hasil kerja tangan yang halus itu adalah seni halus.Ada juga yang melihat seni halus sebagai sesuatu yang abstrak. Asalkan hasil seni itu tidak difahami secara lateral, maka seni haluslah ia.

Pengamal aliran Abstract Expressionist, German Expressionist dan Neo Expressionist mempunyai pegangan tertentu berdasarkan ilmu yang diamalkan.
Bukanlah semata untuk dikategorikan ke dalam ruang lingkup seni halus.
Namun, agak mengecewakan apabila terdapatnya pelukis-pelukis yang sengaja menghasilkan karya abstrak sebegitu sedangkan proses keilmuan ekspressionisnya tidak ada. Pelarian kepada kemahiran formalistik yang diajar Barat.
Dalam memperjuangkan nasionalisme, makin ramai kolektor seni halus di Malaysia, tanpa sedar menyimpan koleksi-koleksi dan mungkin sedang berangan untuk menambah lagi koleksi karya (kebanyakan catan) yang pada fahaman mereka, cukup bersifat kebangsaan.
Padahal, pengkarya yang menghasilkan karya-karya itu sedang mengamalkan fahaman Barat di dalam karya mereka.

Bukanlah saya mempersoalkan tentang boleh atau tidak pengkarya menghasilkan karya dengan kemahiran yang diperolehi dari Barat itu, cuma cukuplah sekadar memahami formalistik penghasilan karya dan bagaimana menggunakan ilmu itu untuk melihat dan memperlihatkan rupa dan bentuk akar budi kita ke dalam karya masing-masing.

Toleh ke belakang

Cuba kita toleh ke belakang sebentar, ke zaman awal tamadun manusia, zaman batu awal, zaman pra moden.Bagaimana manusia menggunakan segala yang ada di sekeliling dalam menghasilkan karya. Lukisan di gua-gua batu, penghasilan beliung, tembikar dan sebagainya dihasilkan berdasarkan rasa hati yang halus dan kepercayaan yang ada pada masa itu.
Paradigma kita pada masa itu adalah tanah. Maka tanah yang menjadi sumber karya kita. Beralih pula ke zaman moden, zaman yang dikenali sebagai zaman mesin. Bermulalah hasil-hasil karya yang berparadigma mesin. Juga saya anggap sebagai zaman kolonial dalam seni. Zaman itulah yang menjadi permulaan kepada amalan seni halus yang kebanyakan kita percaya dan masih amalkan sekarang.

Zaman kini, zaman berparadigma akan maklumat, zaman pasca moden. Segala karya juga berteraskan maklumat. Sebagai contoh multimedia, video dan grafik berkomputer. Maka wujudlah pula karya-karya yang berunsur hybrid.Walau apa pun jua zaman yang dilalui, akar budi kita masih di sini. Segala karya kita perlulah berakar budi Malaysia. Jangan pula kita menjadi penyambung penjajahan baru dalam seni halus dengan mengagung-agungkan gaya karya Barat.Cukuplah Barat menjadi tukang yang memberi makna kepada karya kita, pemberi istilah. Kalau catan dan arca telah dibanggakan-banggakan sebagai karya berasal dari Barat, kita pula perlu berbangga dengan multi media yang asalnya dari kita, Kepulauan Nusantara! Cuma juga, istilahnya ditukar lagi oleh Barat.

Bagaimanakah itu mungkin? Melihat makna multi media (media pelbagai yang dipersembahkan di dalam satu himpunan bersama media-media lain) telah mengimbas kembali kita terhadap karya seni terdahulu - persembahan wayang kulit. Terdapat unsur-unsur multi media di dalamnya. Alatan muzik (audio), paparan layar (visual) diterajui pula oleh Tok Dalang sebagai perantara interaktif dalam menjalankan dan menguasai persembahan itu. Bezanya kini, sistem multi media dijalankan oleh ramai Tok Dalang (pengguna) yang wujud dalam era Teknologi Maklumat. Saya bimbang dengan kewujudan pengkarya kolonial yang telah menyebabkan seni halus di Malaysia jatuh ke tahap jawatan sokongan bukan jawatan profesional seperti mana peguam, doktor, ahli korporat dan lain-lain. Walau pada asalnya, makna seni halus itu sendiri membawa maksud paling seni dan mikro saiznya. Sebagaimana suatu struktur itu bermula dengan satu sel yang seni, membentuk satu organ dan bergerak bersama-sama struktur yang lebih besar. Kalau kita lihat, hanya segelintir kecil pengkarya seni halus di Malaysia berkarya berasaskan pegangan akar budi masing-masing. Mungkin ada di antara mereka menggunakan pelbagai jenis media dalam menterjemahkan karya mereka.

Namun, pendirian mereka jelas terlihat melalui karya masing-masing. Nama-nama seperti Hasnul Jamal Saidon, Abdul Latif Mohidin, Ismail Zain dan Wong Hoey Cheong di samping nama-nama lain memperlihatkan pegangan akar budi di dalam kebanyakan karya mereka.
Ismail Zain dalam karya awalnya bermula dengan catan dan sutera saring sebagai alat terjemahan. Namun, pegangan akar budinya tetap tidak berubah walaupun setelah melalui angin perubahan dan menggunakan komputer sebagai media (pada ketika itu harga sebuah komputer hampir menyamai harga sebuah kereta Proton Saga).
Beliau telah menyerap penggunaan media yang sejajar dengan perubahan zaman, namun tetap memperlihatkan gaya karya Ismail Zain.

Gaya german expressionis dalam karya Abdul Latif Mohidin juga sebegitu. Walaupun teknik ekspresionis itu masih kekal, tetapi rupa karya beliau tetap memperlihatkan betapa jati diri Malaysianya masih kukuh.Beliau membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki hanyalah sebagai asas dalam menghasilkan karya Malaysia. Ini juga dapat dilihat di dalam karya puisi beliau.
Manakala Hasnul Jamal Saidon dan Wong Hoey Cheong pula sentiasa berubah bahan untuk terjemahan karya yang difikirkan sesuai berdasarkan kajian ilmiah mereka. Belum cukup rasanya dengan terbinanya bangunan-bangunan yang menyimpan khazanah seni di negara ini jika mentaliti dan isi di dalamnya bukan milik kita. Harapan agar karya-karya yang wujud selepas merdeka ini memperlihatkan unsur kemerdekaan yang sebenar. Apakah seniman di Malaysia telah menolak ke tepi pegangan kemahiran mereka berdasarkan keselesaan kemahiran barat yang mereka peroleh?

Apakah juga seniman di Malaysia tidak mempedulikan dan mahu mendalami kaedah lain serta alatan lain dalam menterjemahkan karya? Apakah sumbangan kita dalam me-merdekakan seni halus di tanah air yang telah merdeka secara politikalnya? Mungkin seni halus di Malaysia belum lagi merdeka sejajar dengan merdekanya Malaysia selama lebih 51 tahun ini.