Visual Art

The visual arts are art forms that create works which are primarily visual in nature, such as ceramics, drawing, painting, sculpture, architecture, printmaking, modern visual arts (photography, video, and filmmaking), design and crafts. These definitions should not be taken too strictly as many artistic disciplines (performing arts, conceptual art, textile arts) involve aspects of the visual arts as well as arts of other types. Also included within the visual arts are the applied arts such as industrial design, graphic design, fashion design, interior design and decorative art.




About Me

My photo
Creative Designer,Primeworks Studio, Media Prima Berhad / B.A Hons Fineart University Technology MARA,Malaysia

Wednesday, March 11, 2009

PERANAN KRITIKAN SENI TERHADAP PERKEMBANGAN SENI TAMPAK DI MALAYSIA

Seni tampak atau seni visual telah lama berkembang di Malaysia. Adalah dipercayai lebih dari 200 tahun dulu. Namun kewujudan seni ini hanya menjadi satu kepentingan pada negara mulai tahun 1930-an saja. Melihat kepada kepentingan seni ini, tidak ada satu kajian khusus dilakukan terhadap kepentingan kritikan seni. Sudah sampai masanya bidang kritikan seni perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi. Tujuan utama kajian ini di peringkat awal ialah untuk meninjau sejauhmanakah perkembangan kritikan seni telah berlaku dalam dunia seni tampak di Malaysia khususnya seni catan. Apakah kritikan seni dapat menyumbang ke arah kemajuan atau di sebaliknya dalam arus perkembangan seni catan. Bagaimana penerimaan artis terhadap peranan kritikan seni ini. Hasil kajian ini juga akan menjadi faktor menentukan sejauhmanakah kritikan seni dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan seni catan di Malaysia.

Kepentingan kritikan seni di Malaysia khususnya seni tampak masih dianggap baru. Malah kemungkinan ada sesetengah artis atau masyarakat menganggap kehadirannya tidak begitu penting. Sejak kini, tidak ramai penulis dan pengkritik seni yang serius membicarakan dunia kritikan khususnya dalam seni catan. Kemungkinan mereka tidak yakin untuk menentukan arah dan tujuan sebenar peranan kritikan dalam pembangunan seni di Malaysia. Permasalahan ini mungkin timbul ialah keberkesanan tanggapan artis baru terhadap peranan kritikan seni itu sendiri. Tidak ada kursus yang ditawarkan di IPTA atau IPTS yang berkaitan dengan kritikan secara serius. Serta sejauhmana peranan bidang ini dalam perkembangan seni tampak Malaysia khususnya seni catan. Permasalahan ini timbul ialah keberkesanan tanggapan artis baru terhadap peranan kritikan seni itu sendiri. Serta sejauhmana peranan bidang ini dalam perkembangan seni tampak Malaysia, khususnya seni catan moden pada era 90-an.


Seni tampak atau seni visual telah lama wujud di Malaysia. Seni itu bergerak sealiran dengan semua bidang kehidupan manusia. Sebenarnya kepentingan seni sama pentingnya dengan ketamadunan manusia. Seni merujuk kepada sesuatu yang indah. Menurut Graham Collier (1992), Seni boleh ditakrifkan sebagai suatu hasil karya yang dicipta dengan menggunakan bakat atau kecekapan dalam penghasilan karya seni seperti sajak, lukisan, ukiran, muzik dan lain-lain bidang seni. Penghasilan karya-karya seni dapat membantu perkembangan sesuatu tamadun dalam meningkatkan tahap kebudayaan dan kesenian sesuatu masyarakat itu. Oleh itu, bidang seni semakin berkembang dari zaman dahulu hingga sekarang. Manakala seni catan pula merujuk kepada penghasilan karya seni berbentuk dua dimensi. Ia dilukis di atas permukaan kanvas. Menggunakan media cat air atau akrilik. Pemilihan tema atau subject matter pula dipelbagaikan.Menurut kajian awal, kritikan seni pernah ditulis oleh Syed Sheikh Al-Hadi (1867 – 1934) seorang ulamak terkenal Malaya yang banyak mengupas isu-isu seni dan kesusasteraan serta agama dalam majalah Al-Ikhwan. Antara kritikan beliau ialah berkaitan dengan peranan lukisan dan gambar. Ia diterbitkan dalam majalah berkenaan pada 16 April 1929.

Antara yang dipaparkan ialah:
Perkara gambar-gambar ini telah menjadi suatu daripada perkara yang sangat-sangat berguna bagi kemajuan manusia sama ada gambar-gambar yang beribu-ribu tahun dahulu atau pun gambar-gambar yang baharu-baharu diperbuat orang pada masa ini.

( Al-Ikhwan,16 April 1929, no.238, tulisan jawi)
Selain dari itu beliau juga telah menegur kalangan ibu bapa yang menimbulkan isu mata pelajaran lukisan di sekolah-sekolah Melayu pada zaman itu.
Di dalam pada ini pun ajaib kita mendengarnya banyak sangat sugutannya orang-orang konon mengajar anak-anak Melayu di dalam sekolah-sekolah melukis gambar itu ditegah oleh agama Islam.

( Al-Ikhwan,16 April 1929, no.238, tulisan jawi)
Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan pada tahun 1922 telah menjadi penggerak utama dalam bidang Pendidikan Seni. Guru-guru lepasan SITC menggunakan Kitab Pedoman Guru Penggal Pertama terbitan tahun 1928 dan Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua yang diterbitkan pada tahun 1929 sebagai panduan mata pelajaran termasuk lukisan. O.T. Dussek dan Mohd. Hashim bin Haji Taib yang bertanggungjawab mengumpul dan menulis serta diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang SITC.

Isi kandungan kitab Pedoman Guru Penggal Pertama yang diterbitkan pada tahun 1928, merangkumi isi-isi pelajaran mengenai Kaedah Mengajar Lukisan. Di dalam kitab itu dinyatakan bagaimana cara-cara memegang pensil, pemilihan kertas, penggunaan pemadam dan pembaris. Selain itu diterangkan juga kaedah melukis bulatan, empat segi, tiga segi, teknik melukis binatang dan bunga-bungaan. Dalam Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua yang diterbitkan pada tahun 1929, mengandungi kaedah mengajar tulisan kaligrafi rumi dan tulisan jawi.
Menurut Ahmad Suhaimi Mohd Noor (2002), kedua-dua kitab ini adalah buku terawal mengenai kaedah pengajaran lukisan yang disediakan oleh orang Melayu yang diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu. Mohd. Said bin Haji Hussein bukan sahaja penulis kaedah mengajar lukisan, tetapi juga penterjemah buku, pensyarah seni, pelukis serta pembentang kertas kerja. Melihat kepada peranan dan sumbangannya yang amat besar terhadap bidang ini, amatlah wajar beliau diberi satu penghargaan sebagai tokoh Pendidik Seni dan pelukis Malaya yang terawal. Hasil usahanya ini telah melahirkan begitu ramai guru yang boleh mengajar mata pelajaran lukisan di sekolah-sekolah di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei Darul Salam. Pada masa itu hanya SITC saja yang mampu melahirkan guru-guru seni dan berkhidmat di seluruh pelusuk Tanah Melayu.

Penerbitan majalah seperti Mastika agak aktif. Tetapi kemudiannya menjadi malap dan seterusnya terhenti akibat tercetusnya Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang ia diterbitkan semula pada November 1946. Ini menandakan dunia kritikan seni di Malaya mulai bertambah rancak. Majalah Mastika merupakan majalah yang memaparkan pelbagai isu seperti politik, budaya dan sastera. Ia diterbitkan oleh Utusan Melayu di Singapura (1941-57). Kritikan seni pada tahun itu kebanyakan disiarkan dalam tulisan jawi. Antara yang dipaparkan ialah polemik seni oleh saudara Mona Lisa dengan Saudara Mohd. Salehuddin mengenai pengertian seni moden. Mona Lisa cuba membahaskan pandangan Mohd. Salehuddin mengenai seni moden. Kritikan itu dijawab semula oleh Mohd. Salehuddin dalam Mastika keluaran Mac 1959. Walaupun jawapan yang diberikan oleh Mohd. Salehuddin dalam bentuk penulisan sebuah rencana seni, tetapi ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa telah ada satu polemik seni yang terawal di Malaya disiarkan dalam media.Selain menjadi penulis Mastika, Mohd. Salehuddin juga seorang pelukis. Salah sebuah karyanya yang berjudul, “Membeli-belah Di Kampung” (1959) menjadi koleksi tetap Balai Seni Lukis Negara.

Terdapat seorang lagi pengkritik seni, iaitu Abdul Gani Hamid. Antara kritikan seni yang telah dihasilkan berjudul, “Seni Lukis Dari Kongres ke Kongres” yang telah disiarkan dalam majalah Mastika keluaran Mac 1958. Beliau telah mengulas dan mengkritik rumusan kedua-dua kongres penting iaitu Kongres Bahasa Melayu III Malaya yang berlangsung pada 16 hingga 21 September di Singapura dan Kongres Kebudayaan Melayu I yang berlangsung pada 30 Disember 1957 hingga 2 Januari 1958 di Melaka. Beliau dengan beraninya mengkritik bahawa ketetapan yang telah dibuat sebagai rumusan kepada kedua-dua kongres tersebut tidak menjadi apa-apa makna seandainya kita tidak mendapat sokongan dari pihak pemerintah. Selain daripada itu beliau juga telah mengkritik kedudukan seni lukis di Malaya yang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kedudukan seni lain terutamanya kesusasteraan.

Tulisan beliau yang dikira amat pedas dan tajam berjudul, “Kita Ada Sebidang Tanah, Tak Seorang Petani Ingin Berbudi.” Pandangan dan kritikan beliau dibuat terhadap pemerintah yang membiarkan kedudukan pelukis-pelukis terbiar tanpa pembelaan. Walaupun para pelukis telah disediakan dengan Balai Seni Lukis Negara dan dirasmikan pada tahun 1958, tetapi peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang ini amat terbatas. Tambahnya lagi, beliau turut berminat dengan percubaan beberapa pelukis Malaya yang mengambil idea yang berteraskan keMelayuan dan pribumi dalam pengolahan karya catan. Contohnya pelukis Chuah Theng Teng dari Pulau Pinang, Nik Zainal Abidin dari Kelantan dan Abdul Hamid Alias dari Melaka.

Tugas masyarakat ialah menghayati dan menyimpan khazanah seni. Penyesuaian diri masyarakat dalam menghayati dan menghargai bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tugas dan perlaksanaannya memerlukan satu bidang pengkajian yang khusus.
Siapakah yang perlu memainkan peranan ini? Seniman dan penggiat seni berperanan sebagai penghasil karya. Tetapi, peranan pengkritik seni lebih penting ke arah memajukan karya seni itu. Pengkritik seni tidak dilihat sebagai penilai karya seni atau ‘pembunuh’ minat seniman untuk terus berkarya.
Bidang kritikan seni di Malaysia amat jarang diperbahaskan. Tidak banyak penulisan yang ditemui mengenai perkara ini. Kecuali tulisan-tulisan berbentuk ringan dari majalah lama yang diterbitkan sekitar tahun 1930-an itu. Apakah yang dimaksudkan kritikan dan pengkritik seni. Pepper, Stephen C. (1996) menjelaskan, sebenarnya kritikan seni adalah satu bidang ilmu yang perlu diketengahkan. Perkembangan seni tampak tidak akan berjaya tanpa adanya kritikan. Kritikan seni amat berkait rapat dengan perkembangan seni di Malaysia. Kritikan seni juga berkembang seiring dengan bidang seni tampak yang lain.

Zakaria Ali (1989) menjelaskan pengkritik seni perlu jujur kepada dirinya sendiri, inilah prinsip yang patut dipegangnya. Kejujurannya itu kadangkala menghalangnya membuat apreasiasi bertulis dengan jujur. Dia khuatir akan menyinggung perasaan seniman yang sentiasa sensitif, tidak boleh ditegur dan mahu sentiasa dipuji. Beliau menjelaskan lagi, seniman pula sentiasa mengakui bahawa karya seni mereka itu adalah hasil kejujuran dari diri mereka sendiri. Kejujuran tidak menjamin terhasilnya karya seni yang besar. Kewujudan karya seni itu adalah merupakan sesuatu hakikat yang bebas dari pengaruh seniman dan pemerhati.
Greene, Theodore Meyer (1997) mengatakan bahawa pengkritik seni haruslah berwaspada kerana pendapat seniman itu adalah penyambungan suasana mental ciptaanya sahaja. Suasana ini boleh membantu pengkritik seni menilai kesenian karya seniman itu. Sebalikya pula, terlampau banyak pendapat yang dikeluarkan, boleh mengelirukan orang ramai yang bakal menjadi peminatnya. Lebih lagi pendapat itu diberikan pada waktu-waktu yang berbeza.
Graham Collier (1992) menjelaskan seniman yang bijak selalunya bersikap membisu sesudah karyanya disiapkan.
Namun di dalam sejarah seni, banyak sekali terdapat contoh-contoh seniman yang menulis surat-surat, diari-diari dan renungan-renungan peribadi. Penghayat seni dan pengkritik seni amat memerlukan dokumen-dokumen itu bagi menyokong mereka untuk menilai dan menikmati karya seni itu. Seniman yang masih aktif dan masih ada (hidup) boleh terus mengeluarkan buah fikiran, pendapat, kenyataan, menukarkan fikiran, mengubah pendapat, malah menafikan pendapat-pendapat awalnya tadi.M. Lansing (1996) menyatakan bahawa karya seni itu boleh mendidik masyarakat. Perlu ditegaskan bahawa bukan semua karya seni boleh mendidik masyarakat. Ia bergantung kepada pendapat pengkritik. Apa yang ditulisnya itu. Adakah untuk mendidik atau sekadar ia dianggap cukup cekap dan bernas serta mempunyai etika saja. Namun ditahap peribadi kita, apabila semua pemerhati berhadapan dengan karya seni, mereka adalah pengkritik. Walaupun dalam keadaan dan suasana senyap-senyap. Setiap penghayat seni, pemerhati seni, harus digalakkan menjadi pengkritik seni yang senyap-senyap pada mulanya dan kemudian menjadi pengkritik seni yang aktif sesudah itu.

Selaras dengan perkembangan seni yang berlaku itu, sewajarnya dunia kritikan dianggap satu bidang yang amat penting. Bidang kritikan sebenarnya telah berusia ribuan tahun. Sejarah seni membuktikan bahawa ahli falsafah klasik seperti Socrates (469 – 399SM), Plato (427 – 347SM) dan Aristotle (384 –322SM) telah menggunakan pendekatan kritikan untuk melihat seni dengan lebih mendalam. Socrates menggunakan pendekatan teori idea. Beliau menyatakan bahawa penghasilan karya seni bersandarkan dari idea atau buah fikiran. Manakala Plato pula membuat tafsiran yang seni itu hasil dari kegiatan peniruan atau imitasi. Aristotle pula melihat seni sebagai satu elemen yang mendekatkan manusia dengan alam. Dia menggunakan istilah mimesis yang merujuk kepada proses meniru atau penghasilan semula kata-kata dan gerak-geri orang lain.

Dalam perkembangan seni Eropah pun, kritikan seni telah lama wujud dan dianggap amat penting. Beberapa tokoh sejarahwan Eropah seperti Heinrich Wolflin (1864 – 1945), GiorgioVasari (1511 – 1574) dan Johann Joachim Winklemann (1717 – 1768), telah melihat bidang kritikan boleh menyemarak dan memeriahkan lagi dunia seni tampak. Contohnya, Wolflin telah membuat analisa dalam bidang kritikan. Beliau membuat perbandingan seni ini kepada beberapa bidang. Iaitu seni bina, seni arca dan seni catan. Penganalisaan ini menjadi satu disiplin dan asas kepada pengkritik seni yang lain untuk mengkritik karya. Wolflin membuat analisa perbandingan stail dan gaya seni zaman Renaissance dan Baroque. Dia menggabungkan kaedah emperikal dan saintifik. Seni menurut Wolflin ialah hasil jelmaan pengaruh sosial yang bersifat dalaman dan luaran di mana persepsi menjadi pembolehubahan yang baru dalam memperkatakan perubahan gaya dan pengkaryaan seni. Menurutnya lagi seniman perlu melakukan perubahan dan perkembangan terhadap seni dengan terus membuat penerokaan, mengkaji dan merujuk kepada sejarah. Untuk merealisasikan agar masyarakat dapat menerima seni, pengkritik juga memainkan peranan yang utama seperti yang dijelaskan oleh T.S Elliot terjemahan Dr. Wong Seng Tong (1991), “kritikan ialah mengupas dan menghuraikan karya-karya seni dengan menggunakan tulisan atau tujuan dasarnya adalah menjelaskan karya-karya seni sementara mengawal selera pembaca.”

Vasari mendefinisikan karya seni boleh dikritik dengan beberapa tahap seperti perkembangan awal, perkembangan pertengahan dan tahap kematangan. Dia yang dianggap sebagai perintis dunia falsafah moden dan kritikan seni menyenaraikan seni tampak boleh dianalisa kepada beberapa peringkat. Antaranya ialah kadar banding, nilai keindahan, jalinan, cahaya dan bayang serta objek (subject matter) yang diketengahkan oleh seniman. Vasari amat terkenal dengan Teori Imitate Nature. Wincklemann pula memberi pandangan bahawa kritikan adalah penganalisaan dari sebuah karya seni yang mengandungi nilai estetik. Selain itu beliau berpendapat karya seni itu merupakan hasil peniruan atau meniru keindahan. Beliau juga telah menemui tiga konsep peniruan atau imitasi berdasarkan kepada tiga perkara iaitu seniman meniru alam, seniman meniru bahan dan seniman meniru keindahan.

Beliau menjelaskan lagi, ‘keindahan itu mesti dinikmati oleh deria dan difahami oleh intelek, perasaan luaran dan dalaman penting untuk mengenal dan menikmati keindahan.’ Menurutnya lagi kebolehan mengkritik atau menilai keindahan adalah berbeza-beza. Oleh itu katanya lagi seniman dan penghayat seni perlu terus berlatih pancaindera mereka sehingga berupaya menikmati keindahan melalui daya intelektual. Merujuk kepada kepentingan kritikan seni, maka jelaslah bahawa kewujudan pengkritik seni amat membantu dalam usaha memartabatkan seni tampak Malaysia. Namun penglibatan pengkritik seni itu mungkin masih ditahap sederhana.
Usaha memberikan galakan dan penerangan akan kepentingan kritikan seni kepada para seniman mesti diteruskan. Seniman perlu didedahkan bahawa dunia kritikan seni boleh membantu karya seni mereka berada pada tahap kualiti yang membanggakan. Seniman juga perlu menyedari dengan adanya kritikan seni ini, perkembangan dunia seni tampak menjadi lebih bermakna dan dipandang tinggi.

Sesuai dengan perkembangan seni di peringkat antarabangsa, seni kritikan telah diterima oleh masyarakat barat sebagai sebahagian dari aktiviti seni itu sendiri. Tanpa adanya kritikan seni, maka seni itu dilihat sebagai satu kekurangan. Oleh itu sewajarnya kritikan seni mesti berada dan bergerak seiring dengan dunia seni tampak tanah air. Penyelidikan PerpustakaanMenurut Encyclopedia Britannica, kritikan seni ialah satu perbincangan ilmiah yang beralasan dan bersistem untuk menghuraikan atau menilai gaya, teknik dan cara penghasilan sesebuah karya seni itu. Kritikan seni yang terawal telah dapat dikesan dalam ‘Republic’ oleh Plato (427 – 347SM) Dalam karya tersebut, Plato telah mengemukakan teori idea yang menjelaskan bahawa objek-objek dalam dunia yang kita lihat hanyalah peniruan semata-mata. Malahan kedudukannya tidak begitu sempurna. Dari kenyataan ini, maka bermulalah dunia kritikan seni. Konsep peniruan ini dikenali sebagai seni imitasi (art imitate nature).

Selepas itu, idea ini dikembangkan dan perbaharui oleh Aristotle dengan mengatakan bahawa imitasi itu adalah satu aktiviti kreatif. Di antara tokoh penting dalam bidang kritikan dan pensejarahan pada pada abad ke-16 ialah Giorgio Vasari di Itali, Johann Joachim Winckelman dan Gotthold Ephrain Lessing dari Jerman. David S. Nateman (1994) mengatakan bahawa terdapat beberapa jenis teori kritikan seni yang dikenalpasti. Antaranya ialah kritikan impresionistik, kritikan imitationalis, kritikan ekspresif, kritikan formalis dan kritikan instrumentalis. Kritikan formalis juga dikenali dengan nama kritikan judicial atau kritikan objektif. Manakala kritikan impresionistik ialah kritikan yang melahirkan sikap dan perasaan secara spontan tanpa menghitungkan disiplin ilmu seni. Kritikan ekspresif pula ialah kritikan yang cuba melihatkan pertalian atau hubung kait antara karya dan seniman. Manakala kritikan imitationalis ialah melihat karya seni sebagai kerja seni yang terlibat dengan konsep peniruan.

Kritikan formalis adalah kritikan yang menumpukan kepada intrinsic karya. Kritikan instrumental ialah kritikan yang cuba melihat karya seni dari segi fungsi sosialnya, karya ini berbeza dengan karya lain.Selain itu terdapat beberapa jenis kritikan lagi. Antaranya ialah kritikan teori (theoretical criticism), kritikan amali (practical criticism) dan kritikan terapan (applied criticism). Kritikan teori menumpukan kepada beberapa aspek teori dan methodologi. Ia menerangkan prinsip-prinsip teori dengan jelas dan terperinci serta menekankan pemahaman yang mendalam mengenai unsur-unsur seni, prinsip rekaan dan struktur serta organisasi rekaan. Di samping itu juga ia menekankan aspek yang berkaitan dengan sosiologi, psikologi, falsafah seni dan perkembangan seni dan sebagainya. Terdapat ramai tokoh yang membicarakan kritikan teori. Tokoh yang paling awal membicarakan teori ini ialah Aristotle dalam bukunya berjudul, ‘Poetics’ yang ditulis pada abad Ke-4 Sebelum Masihi. Selain daripada itu dua buah buku teori lain yang amat berpengaruh ditulis oleh I.A. Richards (1924) dalam bukunya berjudul ‘Principle of Literary Criticism’ dan Northrop Frye (1975) dalam bukunya berjudul ‘Anatomy of Criticism.’ Manakala buku lain yang juga turut membicarakan kritikan teori ialah Jonathan Culler (1975) berjudul ‘Structuralist Poetics’ dan Roland Bartes (1972) yang berjudul ‘ Critical Essay’.

Kritikan teori lebih menumpukan kepada aspek teori dan methodologi. Prinsip-prinsip teori akan dikemukakan dengan lebih jelas dan terperinci. Penguasaan ilmu teori bukan sahaja kepada pemahaman tentang unsur-unsur seni, prinsip rekaan dan struktur rekaan semata-mata tetapi lebih jauh daripada itu. Pengkritik seni mestilah menguasai sebanyak mungkin ilmu bantu seperti pendidikan asas seni lukis dan seni reka, sosiologi, psikologi, falsafah seni, methodologi seni, perkembangan seni pra-sejarah, perkembangan seni Eropah dan Asia, seni Islam selain perkembangan seni tempatan. Malahan pengkritik seni sewajarnya melengkapi ilmu teori ini selari dengan perkembangan seni semasa sama ada berlaku di luar ataupun dalam negara. Kritikan amali atau praktikal ini bermaksud penglibatan secara langsung pengkritik dengan pengkarya seni. Pengkritik melakukan pengamatan dan penganalisaan terhadap sesuatu karya seni itu dengan lebih mendalam. Dia boleh menjelaskan sama ada pengkajiannya itu menarik atau sebaliknya. Sebahagian daripadanya mungkin dijelaskan tidak menarik perhatian. Penghayat seni pula mempunyai tahap penilaian yang amat berbeza. Mereka tidak sanggup untuk mengatakan karya itu tidak menarik, seandainya ia berada di hadapan pengkarya seni itu. Ketidakjujuran di dalam membuat penilaian oleh penghayat seni boleh dipertikaikan. Bahan-bahan seni yang kotor, buruk, kasar dan tidak menyenang dipandang mungkin dianggap tidak menarik bagi sesetengah penghayat seni atau orang ramai.

Tetapi bagi pengkritik seni yang sudah berpengalaman tentu mempunyai pandangan yang berbeza pula.T.S. Eliot adalah tokoh yang paling terkenal dan pertama dapat mempengaruhi teori dan amalan bagi pengkritik-pengkritik seni yang baru. Dalam kegiatan awalnya T.S. Eliot menjadi model bagi para pengkritik aliran ini. Beliau adalah seorang pemimpin yang alamat terpengaruh dalam mengutarakan pemikiran-pemikiran tentang teknik dan kaedah serta bahasa kritikan. Beliaulah yang mengemukakan rancangan dan pernah dilaksanakan oleh T.E. Hulme dan Ezra Pound. Kita boleh membaca eseinya yang pertama, The Sacred Wood: ‘Essay on Poetry and Criticsm’ (1920). Elliot menjelaskan penentangannya terhadap unsur-unsur ‘impressionis’ dan ‘moralisme’ yang melampau dalam melakukan sesuatu teknik pengkritikan.
Eseinya yang berjudul ‘The Perfect Critic’ mengemukakan pendapat bahawa pemikiran yang baik adalah lebih mengarah kepada melihat sesebuah karya dalam istilah-istilah struktur. Katanya, “ Criticsm is the statement in languange of this structure; it is a development of sensiblitiy.” Sesuatu kritikan yang buruk ialah kritikan yang mengandungi sesuatu pernyataan emosi yang tidak terkawal. Penilaian dan hujahan terhadap karya seni itu hendaklah dibuat berlandaskan etika moral yang betul.

Kritikan terapan (applied criticism) merupakan lanjutan dari kritikan amali. Pengkritik seni melihat dan menganalisa karya dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan tertentu. Apa yang boleh dimanfaatkan dari hasil sesebuah karya seni itu terhadap kepentingan masyarakat. Saranan dan sumbangan dari kritikan itu boleh membantu seniman untuk terus memberikan sesuatu yang bermakna pada masyarakatnya.
Manakala kritikan amali pula menerangkan penglibatan secara langsung pengkritik dengan pengkarya seni. Di sini pengkritik melakukan pengamatan dan penganalisaan terhadap sesuatu karya seni itu dengan lebih mendalam. Sementara itu kritikan terapan adalah kritikan yang melibatkan pengkritik seni yang melihat dan menganalisa karya dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan tertentu. Saranan dan sumbangan dari kritikan itu boleh membantu seniman untuk terus memberikan sesuatu yang bermakna pada masyarakat.

Kaedah-kaedah kritikan seni dari setiap teori tidak berdiri secara tersendiri. Ia memerlukan hubungan yang rapat dengan sejarahwan seni dan seniman. Dalam erti kata yang lain, seniman yang menghasilkan karya seni memerlukan sejarahwan untuk merakamkan peristiwa yang berlaku ketika itu. Pengkritik seni pula mengulas, menganalisa, mengkritik dan membina idea supaya menjadi lebih mantap. Ketiga-tiga penggiat seni ini sewajarnya digembeleng tenaga demi memartabatkan seni tanah air. Teori-teori seni sentiasa berkembang dari satu era ke satu era yang lain. Ia akan sentiasa diperkatakan oleh para sejarahwan seni. Tidak akan wujud satu zaman yang gemilang dalam perkembang seni andainya ada pihak yang mempertikaikan kehadiran sejarahwan dan pengkritik seni.

2 comments:

Unknown said...

SUDAH ada petanda bila mana sejarawan seni sekaligus berperanan sebagai pengkritik seni dan ketika yang lain menjadi pembuat seni. Petanda yang sihat ini dapat dikesan melalui bilangan kurator yang menonjol dan memainkan tiga peranan yang lain dalam situasi yang berbeza. Justeru peranan kritikan seni tampak di Malaysia menampakkan masa depan yang cerah.

AKTIVITI BERFAEDAH DI RUMAH SEMASA PKP said...

Minta halal untuk jadikan rujukan yee..