Visual Art

The visual arts are art forms that create works which are primarily visual in nature, such as ceramics, drawing, painting, sculpture, architecture, printmaking, modern visual arts (photography, video, and filmmaking), design and crafts. These definitions should not be taken too strictly as many artistic disciplines (performing arts, conceptual art, textile arts) involve aspects of the visual arts as well as arts of other types. Also included within the visual arts are the applied arts such as industrial design, graphic design, fashion design, interior design and decorative art.




About Me

My photo
Creative Designer,Primeworks Studio, Media Prima Berhad / B.A Hons Fineart University Technology MARA,Malaysia

Sunday, September 7, 2008

Sudahkah Seni Halus Merdeka?

MERDEKA! Merdeka! Merdeka! - Laungan yang kini telah menjadi suatu macam upacara ritual (bagi mereka yang tidak memahami erti sebenar kemerdekaan).
Hanya menjerit dan bersorak kerana setiap tahun itulah caranya kita memberi tanda bahawa kita telah pun berdiri di atas kaki sendiri tanpa penjajahan. Tak kisah sama ada itu satu pendekatan yang tepat atau tidak. Yang penting kita telah pun selesa dengan cara itu.

Dalam mendepani glokalisme, kita perlu memperkasakan diri dan akar budi kita terlebih dahulu sebelum menunjukkan keperkasaan kita agar setanding dengan tamadun luar.
Biarlah orang ekonomi bercakap fasal ekonominya. Orang politik dengan politikalnya, masing-masing individu bercakap fasal keperluan masing-masingnya.Seni halus di dalam kamus dewan bermaksud suatu hasil karya yang halus buatannya di contoh pula dengan hasil catan, arca dan ukiran.

Manakala bidang kerjanya pula termasuk pelukis, pengukir dan pengarca. Kefahaman ini nampaknya telah dijumudkan sekian lama.Mungkin kerana ilmu seni halus yang juga dikenali sebagai seni visual atau fine art dalam bahasa Inggerisnya dan di Indonesia sebagai seni murni telah melalui proses pembelajaran dan proses keilmuannya di Barat, maka makna yang diterima pakai oleh kita juga dipengaruhi Barat. Sejarah seni, suatu subjek yang perlu diketahui oleh seniman seni halus yang serius juga berlandaskan Barat.

Nama-nama seperti Leonardo Da Vincci, Salvador Dali, Jackson Pollock, Andy Warhol dan beberapa nama yang menjadi ikon dalam seni halus juga nampaknya orang-orang Barat belaka.
Mungkin saya perlu turun sedikit dalam ruang lingkup seni di Malaysia sudah memadai.
Nama-nama seperti Ibrahim Hussein, Abdullah Ariff, Syed Ahmad Jamal, Zakaria Ali dan beberapa nama yang menjadi ikon di dalam sejarah seni halus di Malaysia juga telah mengamalkan perkara yang sama. Malah terdapat pula tafsiran yang mengatakan seni halus hanyalah hasil karya yang melibatkan berus, cat minyak dan kanvas seperti mana yang telah diamalkan di dalam seni catan moden.

Sehingga ke hari ini, kefahaman ini telah membawa kepada beberapa pecahan contoh hasil seni halus yang diberi makna baru seperti kraftangan seni halus, barangan ukiran seni halus, lukisan pemandangan seni halus, lukisan potret seni halus dan sebagainya.
Semuanya kerana kita faham bahawa apa saja hasil kerja tangan yang halus itu adalah seni halus.Ada juga yang melihat seni halus sebagai sesuatu yang abstrak. Asalkan hasil seni itu tidak difahami secara lateral, maka seni haluslah ia.

Pengamal aliran Abstract Expressionist, German Expressionist dan Neo Expressionist mempunyai pegangan tertentu berdasarkan ilmu yang diamalkan.
Bukanlah semata untuk dikategorikan ke dalam ruang lingkup seni halus.
Namun, agak mengecewakan apabila terdapatnya pelukis-pelukis yang sengaja menghasilkan karya abstrak sebegitu sedangkan proses keilmuan ekspressionisnya tidak ada. Pelarian kepada kemahiran formalistik yang diajar Barat.
Dalam memperjuangkan nasionalisme, makin ramai kolektor seni halus di Malaysia, tanpa sedar menyimpan koleksi-koleksi dan mungkin sedang berangan untuk menambah lagi koleksi karya (kebanyakan catan) yang pada fahaman mereka, cukup bersifat kebangsaan.
Padahal, pengkarya yang menghasilkan karya-karya itu sedang mengamalkan fahaman Barat di dalam karya mereka.

Bukanlah saya mempersoalkan tentang boleh atau tidak pengkarya menghasilkan karya dengan kemahiran yang diperolehi dari Barat itu, cuma cukuplah sekadar memahami formalistik penghasilan karya dan bagaimana menggunakan ilmu itu untuk melihat dan memperlihatkan rupa dan bentuk akar budi kita ke dalam karya masing-masing.

Toleh ke belakang

Cuba kita toleh ke belakang sebentar, ke zaman awal tamadun manusia, zaman batu awal, zaman pra moden.Bagaimana manusia menggunakan segala yang ada di sekeliling dalam menghasilkan karya. Lukisan di gua-gua batu, penghasilan beliung, tembikar dan sebagainya dihasilkan berdasarkan rasa hati yang halus dan kepercayaan yang ada pada masa itu.
Paradigma kita pada masa itu adalah tanah. Maka tanah yang menjadi sumber karya kita. Beralih pula ke zaman moden, zaman yang dikenali sebagai zaman mesin. Bermulalah hasil-hasil karya yang berparadigma mesin. Juga saya anggap sebagai zaman kolonial dalam seni. Zaman itulah yang menjadi permulaan kepada amalan seni halus yang kebanyakan kita percaya dan masih amalkan sekarang.

Zaman kini, zaman berparadigma akan maklumat, zaman pasca moden. Segala karya juga berteraskan maklumat. Sebagai contoh multimedia, video dan grafik berkomputer. Maka wujudlah pula karya-karya yang berunsur hybrid.Walau apa pun jua zaman yang dilalui, akar budi kita masih di sini. Segala karya kita perlulah berakar budi Malaysia. Jangan pula kita menjadi penyambung penjajahan baru dalam seni halus dengan mengagung-agungkan gaya karya Barat.Cukuplah Barat menjadi tukang yang memberi makna kepada karya kita, pemberi istilah. Kalau catan dan arca telah dibanggakan-banggakan sebagai karya berasal dari Barat, kita pula perlu berbangga dengan multi media yang asalnya dari kita, Kepulauan Nusantara! Cuma juga, istilahnya ditukar lagi oleh Barat.

Bagaimanakah itu mungkin? Melihat makna multi media (media pelbagai yang dipersembahkan di dalam satu himpunan bersama media-media lain) telah mengimbas kembali kita terhadap karya seni terdahulu - persembahan wayang kulit. Terdapat unsur-unsur multi media di dalamnya. Alatan muzik (audio), paparan layar (visual) diterajui pula oleh Tok Dalang sebagai perantara interaktif dalam menjalankan dan menguasai persembahan itu. Bezanya kini, sistem multi media dijalankan oleh ramai Tok Dalang (pengguna) yang wujud dalam era Teknologi Maklumat. Saya bimbang dengan kewujudan pengkarya kolonial yang telah menyebabkan seni halus di Malaysia jatuh ke tahap jawatan sokongan bukan jawatan profesional seperti mana peguam, doktor, ahli korporat dan lain-lain. Walau pada asalnya, makna seni halus itu sendiri membawa maksud paling seni dan mikro saiznya. Sebagaimana suatu struktur itu bermula dengan satu sel yang seni, membentuk satu organ dan bergerak bersama-sama struktur yang lebih besar. Kalau kita lihat, hanya segelintir kecil pengkarya seni halus di Malaysia berkarya berasaskan pegangan akar budi masing-masing. Mungkin ada di antara mereka menggunakan pelbagai jenis media dalam menterjemahkan karya mereka.

Namun, pendirian mereka jelas terlihat melalui karya masing-masing. Nama-nama seperti Hasnul Jamal Saidon, Abdul Latif Mohidin, Ismail Zain dan Wong Hoey Cheong di samping nama-nama lain memperlihatkan pegangan akar budi di dalam kebanyakan karya mereka.
Ismail Zain dalam karya awalnya bermula dengan catan dan sutera saring sebagai alat terjemahan. Namun, pegangan akar budinya tetap tidak berubah walaupun setelah melalui angin perubahan dan menggunakan komputer sebagai media (pada ketika itu harga sebuah komputer hampir menyamai harga sebuah kereta Proton Saga).
Beliau telah menyerap penggunaan media yang sejajar dengan perubahan zaman, namun tetap memperlihatkan gaya karya Ismail Zain.

Gaya german expressionis dalam karya Abdul Latif Mohidin juga sebegitu. Walaupun teknik ekspresionis itu masih kekal, tetapi rupa karya beliau tetap memperlihatkan betapa jati diri Malaysianya masih kukuh.Beliau membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki hanyalah sebagai asas dalam menghasilkan karya Malaysia. Ini juga dapat dilihat di dalam karya puisi beliau.
Manakala Hasnul Jamal Saidon dan Wong Hoey Cheong pula sentiasa berubah bahan untuk terjemahan karya yang difikirkan sesuai berdasarkan kajian ilmiah mereka. Belum cukup rasanya dengan terbinanya bangunan-bangunan yang menyimpan khazanah seni di negara ini jika mentaliti dan isi di dalamnya bukan milik kita. Harapan agar karya-karya yang wujud selepas merdeka ini memperlihatkan unsur kemerdekaan yang sebenar. Apakah seniman di Malaysia telah menolak ke tepi pegangan kemahiran mereka berdasarkan keselesaan kemahiran barat yang mereka peroleh?

Apakah juga seniman di Malaysia tidak mempedulikan dan mahu mendalami kaedah lain serta alatan lain dalam menterjemahkan karya? Apakah sumbangan kita dalam me-merdekakan seni halus di tanah air yang telah merdeka secara politikalnya? Mungkin seni halus di Malaysia belum lagi merdeka sejajar dengan merdekanya Malaysia selama lebih 51 tahun ini.


1 comment:

Unknown said...

hi... i'm Lizam here. wish to contact you personally. i'm interested with your article on Sudahkah Seni Halus Merdeka? hope to hear from u soon. thanks ya..